Thursday, April 10, 2014

Banyaknya Duit Dia!

Fakta: Kini ramai muda-mudi terjerumus dalam bebanan hutang yang pelbagai, daripada hutang pembelajaran, kad kredit juga pembelian kereta.
Fakta: Kini ramai muda-mudi yang terpaksa diisytiharkan muflis akibat tidak dapat membayar hutang keliling pinggang. 
Fakta: Ramai muda-mudi kini sangat lemah dalam pengurusan wang yang mengakibatkan perbelanjaan mewah yang tidak terkawal. 
  
Foto
Perkara ini terjadi di sekeliling kita. Mungkin tidak dapat dilihat dek mata kasar kerana masalah kewangan memang sukar dilihat. Namun, ia tetap terjadi terutama dalam kalangan muda-mudi generasi Y. 
Generasi Y adalah golongan muda yang lahir mulai pertengahan 80-an.  Mereka adalah golongan yang amat besar dan terus meningkat di arena pekerjaan pelbagai sektor. 

Bukan hendak mengata semuanya tidak pandai menguruskan wang, tetapi boleh dikatakan ramai antara mereka yang masih kurang memberi penekanan pada simpanan untuk masa hadapan, tambahan lagi ketika kos sara diri yang semakin tinggi kini. 

Ada yang mengeluh mengatakan tidak cukup hendak menyimpan kerana perbelanjaan harian juga sudah tinggi. Sememangnya bagi mereka yang berjimat cermat, tetapi masih sukar menyimpan, pasti alasan ini boleh diterima. 

Tetapi ada juga sebilangan besar yang mengeluh tidak dapat menyimpan, namun perbelanjaan yang keluar dari poket pula boleh dikatakan cukup mewah. Makan minum di kafe atau restoran ternama, menggunakan telefon pintar canggih terkini juga membawa kereta di luar kemampuan hanya semata-mata hendak mengejar trend gaya hidup masa kini. 

Mengapa ini terjadi? 

Zaman teknologi dan informasi membolehkan maklumat tersebar dengan meluas dan cepat. Segala yang terkini dan canggih akan mendapat tumpuan melalui media sosial. Untuk menjaga taraf sosial pula, muda-mudi berkejar-kejar untuk mendapatkan apa saja yang terkini dan makan minum di tempat mewah supaya dapat dilihat mempunyai “status” yang hebat. 

Dulu, mungkin tekanan daripada rakan-rakan sekeliling atau rakan pejabat membuatkan gaya hidup kita tercabar untuk mempamerkan gaya hidup hebat. Tetapi kini dengan adanya media sosial, impak ini berganda apabila muda-mudi terkejar-kejar mempamerkan gaya hidup mewah melalui media sosial sekadar memuaskan hati mereka yang tidak dikenali yang digelar “friends”. 

Seperti yang disebut, tidak semua berkelakuan begini. Bagi mereka yang sedia berpendapatan rendah dan berjimat cermat tetapi tetap tidak dapat melakukan simpanan, semestinya perlu mencari alternatif pendapatan sampingan. 

Bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi berbelanja mewah dan tidak dapat melakukan simpanan malah hanya menambah hutang, perlu lebih berhati-hati dan sedar kepentingan pengurusan kewangan untuk tahun yang akan datang. 

Bagaimana bagi mereka yang berpendapatan tinggi dan berbelanja mewah pula? 

Tidak salah mengupah diri sendiri atas hasil kerja cemerlang yang mencerminkan pendapatan. Tetapi masih perlu ingat bahawa kekayaan adalah wang yang disimpan dan bukan pendapatan yang diterima. Pendapatan tinggi, tetapi simpanan sifar dan hutang yang tinggi bererti anda tetap miskin. 

Pesanan kepada generasi Y, sedar bahawa kewangan sendiri adalah tanggungjawab diri sendiri. Bukan saja pengurusan kewangan hari ini, tetapi simpanan kewangan yang perlu dilakukan untuk tahun yang akan datang. 


Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan dan motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana! 
  

Soalan pembaca: 

Salam Irfan Khairi, 
Apakah caranya untuk mengawal nafsu membeli? Ini terutama membabitkan barangan bukan keperluan dan sekadar memenuhi kemahuan. 

Salina Ismail, 
Puchong, Selangor.
 
  
Mudah saja, kurangkan aktiviti keluar membeli-belah! Sememangnya ada beberapa cara dan teknik untuk mengurangkan nafsu membeli seperti “Tunggu Satu Minggu”, iaitu memaksa diri menunggu satu minggu sebelum melakukan belian untuk mengelakkan pembelian secara emosi.  Waktu terbabit akan membuatkan diri kita ‘sejuk’ daripada nafsu ingin membeli. 

Anda boleh juga hanya membawa wang secukupnya ketika keluar dan tinggalkan kad kredit di rumah. Ini memaksa anda supaya tidak membeli apa yang anda tidak rancang. Apa yang penting sekali adalah lakukan bajet mingguan dan bulanan. 

Letakkan keutamaan kepada perbelanjaan keperluan dan bukan kemahuan. Tanamkan tabiat untuk sering mengikut bajet yang sudah ditetapkan. Mungkin sukar pada awalnya, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi sebati untuk terus mengikut bajet anda. Fikirkan keutamaan anda dan fikir secara rasional!

Sumber : Harian Metro

1 comment:

  1. bagus la artikel ni...nanti nak cuba amalkan...

    ReplyDelete